..SAAT INI YANG BERLALU ADALAH MASA..

Setiap perjalanan sebuah kehidupan pasti akan diuji. Tidak ada yang mudah tetapi apa yang kita perlukan sebenarnya adalah kekuatan untuk terus berjalan. Dari mana kita boleh peroleh kekuatan ini? Kekuatan itu datang daripada kemahuan kita sendiri. Jika kita tahu tujuan dan untuk apa kita perlu teruskan hidup ini, pasti setiap halangan yang kita hadapi boleh diatasi. Janji Pencipta kita adalah setiap hamba-Nya yang berusaha pasti akan mendapatkan hasilnya. Dan Dia tidak menguji setiap hamba-Nya melebihi keupayaan hamba-hamba-Nya.

Usaha, doa dan tawakal adalah amalan yang terbaik dalam kita mengejar kebahagiaan dunia dan akhirat. Apa yang penting untuk kita membina amalan-amalan ini? Allah menjawab persoalan manusia ini dengan rasa penuh kasih-sayang. Jika kebahagiaan dunia yang kita kejar, hendaklah dengan ilmu. Jika kebahagiaan akhirat yang kita kejar, juga dengan ilmu. Jika kita mahukan kebahagiaan dunia dan akhirat, juga hendaklah dengan ilmu. Sebagai manusia yang lemah, kita tidak seharusnya mengeluh dan mendesah dengan kesusahan yang kita alami hari ini. Sebaliknya berbaliklah kepada Pencipta kita. Muhasabah diri seketika. Renungkanlah kembali apa yang kita telah lakukan sehingga keadaan kita terhimpit dengan pelbagai masalah hari ini. Pasti ada kesilapan yang kita telah lakukan atau kurangnya amalan untuk kita mendapatkan sesuatu itu.


Janganlah hanya bergantung pada nasib yang baik. Kerana tidak semua orang bernasib baik. Atau lebih kejam sebenarnya tidak ada istilah bernasib baik kerana setiap yang berlaku sudah ditulis di Arasy-Nya dan ditakdirkan berlaku dengan keizinan-Nya. Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah peluang yang baik untuk kita usahakan. Kerana Allah SWT menjawab doa setiap hamba-Nya dengan memberi peluang supaya kita berfikir. Dan peluang-peluang inilah kita diberi untuk memperbaiki kehidupan kita dan berubah menjadi lebih baik daripada semalam. Jika kita masih lagi bernafas hari ini, maksudnya Allah SWT memberi kita peluang untuk kita bertaubat dan insaf dengan kesalahan dan kemungkaran yang kita pernah lakukan pada masa lepas. Pada masa yang sama, Allah SWT memberi sedikit masa supaya kita boleh menambah amalan kita kepada-Nya sebagai bekalan kebaikan di akhirat kelak.

Ingatlah bahawa kita tidak pernah lari daripada peranan masing-masing dalam kehidupan ini. Kita dihubungkan saling memerlukan antara satu sama lain. Jangan sombong dengan rezeki Tuhan. Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.

Jika hari ini kita memandu kereta, ingatlah masih ada yang menunggang motosikal. Jika kita menunggang motosikal, ingatlah masih ada yang berbasikal. Jika berbasikal, ingatlah masih ada yang hanya berjalan kaki. Jika kita berjalan, ingatlah masih ada saudara kita yang dilahirkan kudung kakinya.

Saat ini yang berlalu adalah masa.

1 comment: