..SETIAP KITA MELENGKAPI ANTARA SATU SAMA YANG LAIN..

Pelbagai masalah boleh timbul dalam sesuatu perhubungan fitrah antara lelaki dan wanita itu. Ini sudah cukup menjadi bukti penjelasan pepatah "Tidak ada manusia yang diciptakan di atas muka bumi ini dengan sempurna". Bagi aku, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri namun sejauh mana kita menerima kekurangan pasangan kita adalah faktor yang paling banyak mempengaruhi keihklasan diri kita terhadap pasangan kita. Semasa bercinta, kita merasakan setiap saat yang dilalui bersama pasangan kita sangat indah. Banyak perkara yang kita dapat kongsikan bersama dengan pasangan kita. Itu bermakna proses penerimaan kebaikan antara satu sama lain sedang berlaku kerana ketika ini, masing-masing tidak nampak atau perasan kekurangan yang ada pada pasangan kita.

Setiap daripada kita berusaha untuk memenangi hati pasangan masing-masing dengan menonjolkan kelebihan yang ada pada diri kita. Berkatalah tentang kekurangan diri kita pada pasangan kita tetapi hakikatnya kita sedang memujuk si dia untuk menerima kita seadanya dengan cara merendah diri. Boleh dikatakn juga kita sedang memberitahu pasangan kita bahawasanya kita adalah seorang yang merendah diri (tergolong dalam kelebihan diri). Sesuatu perhubungan itu akan benar-benar teruji apabila dilanda masalah lalu perselisihan faham berlaku. Ketika ini, akal yang waras memainkan peranan yang sangat penting bertindakbalas dengan emosi dalam menyelesaikan masalah tersebut dan tidak ada jawapan yang lebih baik selain daripada bertolak-ansur. Di sinilah kita akan tahu sejauh mana kita boleh menerima kekurangan pasangan kita.

Aku pernah bertanya pada diri aku sendiri, bagaimana ingin menjaga hubungan agar kekal ke akhir hayat (dengan nikah)? Terlalu banyak jawapan, terlalu banyak pendapat dan pandangan dan terlalu banyak faktor yang boleh kita peroleh dan bincangkan daripada pengalaman orang lain mahupun daripada pembacaan buku-buku hubungan sosial yang ada di pasaran. Tetapi apabila dirumuskan, ianya akan berbalik kepada soal hati. Nawaitu kita dalam perhubungan tersebut. Berbalik kepada asal, bertanyalah pada diri sendiri mengapa kita mewujudkan perhubungan itu dan apa tujuan kita kasih-mengasihi antara satu sama lain? Mungkin mudah untuk kita merencanakan dalam penulisan tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk merealisasikan tujuan itu? Ikhlaskah kita dalam perhubungan kita? Disinilah faktor penerimaan kekurangan diri yang ada pada pasangan kita akan ditimbal-balik. Cuba kita ingat semula pada permulaan pertemuan kali pertama bersama-sama pasangan kita. Apa yang membuat kita tertarik kepada si dia? Jelas sekali kita melihat pada kelebihan si dia tanpa kita mengetahui kekurangan yang ada padanya. Apabila sudah berkenalan, barulah kita akan sedar kekurangan yang ada padanya.

Nilaikanlah wahai sahabat, sekiranya kamu boleh menerima kelebihan yang ada pada dirinya, belajarlah untuk menerima kekurangannya kerana tidak ada manusia yang dilahirkan sempurna. Bertanyalah pada diri kita layakkah kita untuk menjadi suri hidup si dia tanpa kita mampu untuk menerima kekurangannya? Belajarlah untuk menerima pasangan kita seadanya. Jadikanlah kelebihan yang ada pada diri kita sebagai alas untuk menampung kekurangan si dia. Jangan biarkan syaitan memandu diri kita ke tebing neraka dengan maksiat dan ketahuilah setiap rasa cinta yang hadir dalam diri kita adalah sebahagian daripada rasa cinta-Nya kepada kita. Dan Dia berhak untuk menarik semula rasa cinta yang pernah kita rasa kerana kita hanyalah hamba kepada Pencipta kita.

Setiap kita melengkapi antara satu sama yang lain.

No comments:

Post a Comment