..SURAT UNTUK KAWAN..

10/07/2009, Jumaat

Hari ini adalah hari terakhir aku di Beyonics Precision Machining Sdn. Bhd. Tak banyak yang berubah sejak aku melangkah masuk ke dalam makmal QA ini. Kenangan dicipta, ada suka ada duka itu lumrah asam garam dalam kehidupan manusia. Apa yang penting adalah hari ini kita belajar untuk bekalan kebaikan keesokkannya dalam merempah setiap hari menjadi lebih baik daripada semalamnya.

Yang tua dihormati, yang muda dihargai barulah akan ada perhubungan antara manusia sesempurna insani. Diiringi jua doa meminta setiap gerak langkah kita diberkati dan diredahi-Nya walau seinci. Walau kita bertuan, kita tetap berTuhan. Percaya kepada tuhan masing-masing kerana tidak ada agama di atas muka Bumi ini yang mengajar umatnya menjadi manusia yang bersalahan. Adil kepada agamanya, adil kepada dirinya sendiri dan adil kepada makhluk yang hidup di sekelilingnya. Andai seketul batu pun, dia tetap diam dengan zikirnya memuji kebesaran Penciptanya.

Orang sekeliling kita ibarat cermin peribadi kita. Lihat pada mereka, kita akan kenal siapa diri kita sebenarnya. Suka menyukai, benci membenci, nasihat-menasihati dan saling menghargai, meletakkan kita bukanlah insan yang punya satu rasa isi hati. Itu kelebihan dia, ini kekurangan kita tak semestinya kita tak boleh jadi kawan untuk selamanya. Hari ini kita kecewa, hari ini kita berduka tapi janganlah kita lupa menadah tangan meminta pertolongan dari-Nya. Cakaplah apa sahaja kerana langit di atas kita sentiasa luas terbuka mengalirkan doa-doa hamba-Nya. Malang kita, ada yang lagi malang. Untung kita, ada yang lebih beruntung. Syukur dilimpah nikmat, sabar dibebani maslahat.

Sekalung penghargaan kepada kalian (Kak Siti, Lim, Yap, Kak Ein, Kak Reen, Abang Mac dan Ila). Kalian mengajar untuk menjadi semulia umat walau diri ini terasa cuma sekelumat. Andai dulu kita bertemu, namun kini kita berpisah. Itu perjanjian yang sudah ditakdirkan berkurun abad lamanya. Setiap yang hidup akan mati, setiap yang tidak bernyawa akan binasa kecuali satu yang kekal abadi, Allah Azza Wajalla. Setiap pertemuan pasti akan menjanjikan satu perpisahan dan hari ini adalah sebahagian darinya. Sepuluh jari disusun tanda kemaafan, andai ada terkasar bahasa, tersilap kata, tergelak sendawa, terkutuk menghina, tergurau selamba yang membuat kalian berkecil hati dan menyimpan walau sejarum dendam kelahi. Ampunkanlah diri ini kerana dia juga insan lemah yang berbasa-basi. Untuk kalian, kemaafan kalian sudah tercatit lama sejak sebelum pertemuan kita bersama. Didoakan jua semoga kalian memperoleh kejayaan dalam apa jua yang kalian kerjakan di dunia, diberkati dan diredhai agar dikurniakan kebahagiaan di akhirat dan kesejahteraan di syurga Jannatul Adni. Insyaallah. Terima kasih. Salam semua.

Mohd Hakim Mohd Isa

4 comments:

  1. Sekalung perhargaan kepada Ariana Naziha Aris kerana membuatkan hari-hari Mohd. Hakim Isa ceria disamping lawak-lawak bangangnya.

    Amacam?

    Kahkahkah!

    ReplyDelete
  2. bro, ayat berbunge2... membuat hati berbunge2... hehe.. i like!

    ReplyDelete
  3. to ariana:
    anda sememangnya sengal yang mungkin akan menghadapi sindrom berpanjangan dan dijangka akan berlarutan sehinga 10 tahun dari sekarang...hahahaha...

    to ib:
    tanx bro...taw dah lu suke bunga-bunga nih...hehehe...

    ReplyDelete