..SALAM AIDILFITRI 1429..

9 Syawal 1429. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Hari ini aku semakin sedar hidup akan menjadi lebih rumit apabila menjelang dewasa. Terkadang jua kita tidak terfikir adakah jalan yang kita pilih ini adalah yang terbaik untuk kita atau seringkali jua persoalan di fikiran bertanya adakah jalan lain untuk kita pilih? Dalam situasi tertentu, kita dipaksa untuk memilih dalam membuat keputusan. Semakin banyak pilihan yang diberi, semakin berserabut gambaran yang hadir dalam kotak fikiran kita. Apapun, keptusan mesti dibuat. Bagi aku jalan yang terbaik adalah kembali kepada fitrah asal kejadian manusia. Kita diajar utsan-utusan-Nya yang terdahulu dalam memberi panduan dan jalan untuk memilih haluan hidup kita dan membuat keputusan penentu masa depan kita. Hendaklah keputusan itu berpandu kepada tali Allah yang Hakiki dan tidak semata-mata mengikut kebijaksanaan akal sahaja. Orang tua-tua berpesan, “ikut rasa binasa,ikut hati mati”. Orang tua bercakap jangan dilawan kelak padah jua yang menimpa. Mereka cukup lembut dan berlapik dalam berkata-kata. Berkias dan berbunga-bunga dalam senikata pantun indah. Tidak seperti kita yang semakin terhakis nilai tatasusila dan sopan-santun budaya Melayunya. Inilah makna sempurna yang diterapkan dalam kehidupan kita daripada maksud Aidilfitri. Kembalilah insan kepada fitrah manusia kerana di situ nanti pasti akan ada cahaya yang menyuluh jalan Islam yang benar.


Melayu memang hebat suatu masa dahulu. Kalau hendak diceritakan kegemilangan bangsa kita sewaktu zaman Hang Tuah dan Hang Jebat suatu masa dahulu, siapalah yang hendak mendengarnya pada hari ini. Kebanyakkan kanak-kanak hari ini sudah dibutakan tentang asal-usul bangsanya sendiri. Tidak kurang juga silibus matapelajaran yang disumbat dengan sastera-sastera barat yang diagung-agungkan hari ini membuat lebih ramai orang ‘Melayu’ hilang ingatan. Melayu mudah lupa. Inilah hakikat yang terpaksa kita telan bulat-bulat. Jika ada orang kita yang bertanya tentang sejarah, pasti ramai orang kita juga yang berkata “apalah ada pada sejarah”. Tapi yang peliknya bila dia terbaca falsafah Yunani menulis “orang yang melupakan sejarah pasti akan melakukan kesilapan berulang-ulang kali”, datang pula kesedaran tentang sejarah. Hairankan? Tak usah dinilai jauh-jauh. Bertanyalah pada sesiapa buku yang mana ada di rumah mereka, Haryy Potter: The Prisoner of Azkaban atau Sulalatus Salatin?


Inilah sebenarnya jalan yang membawa kita kembali kepada fitrah manusia. Tahu asal-usul, kenal erti Melayu, selami ajaran Islam. Kita tidak dicipta sia-sia atas muka bumi ini. Kita ini acuan Melayu tak mungkin menjadi Arab. Ibarat acuan kuih bahulu. Jika bentuknya ikan, tak mungkin keluar dari ketuhar berbentuk itik. Pentingnya mengenal diri, bertanyalah kepada sesiapa yang tahu. “Kenali diri kamu sebelum kamu mengenal Tuhan, sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”.


Salam Aidilfitri 1429.

No comments:

Post a Comment