Ada beberapa perkara sejak beberapa hari ini aku semakin faham berkenaan percanggahan tentang 'hukum-menghukum' yang berlaku antara ulama hari ini. Kalau dulu aku kabur kenapa semakin dewasa ini terlalu banyak larangan terhadap perkara-perkara yang memang diamalkan dalam institusi keluarga Melayu sejak zaman dahulu lagi dan adat-adat Melayu. Tetapi alhamdulillah aku tidak cepat mengambil falsafah-falsafah baru yang muncul ini untuk diketengahkan dalam perbincangan yang lebih serius.
Kita sebenarnya tidak perlu untuk rasa benci-membenci antara satu sama lain dalam menilai pendapat orang lain. Seorang rakan pernah berkata 'agree to disagree' dan aku setuju dengan apa yang beliau maksudkan kerana kita ini manusia yang bersifat insan yang sering melakukan kesilapan dan serba kekurangan. Berkenaan untuk menjatuhkan hukum, perlu diselidiki terlebih dahulu latar belakang seseorang itu dan untuk apa sebenarnya dia mengemukakan hukum-hukum itu kerana adalah tidak adil jika kita mendengar penjelasan daripada sebelah pihak sahaja sebelum memutuskan sesuatu keputusan. Ini kerana tindakan dalam mengemukakan hukum-hukum adalah suatu perkara yang sangat berat. Ianya perlu melalui beberapa kaedah yang difikirkan sesuai, sebagai contoh musyawarah, sebelum sesuatu hukum itu diputuskan dan ianya tidak boleh dilakukan secara sendirian berdasarkan ilmu yang dimiliki individu tertentu tanpa dirujuk kepada pihak yang berkuasa.
Antara keburukan percanggahan hukum ialah tindakan ini mampu memberi kekeliruan kepada masyarakat yang secara puratanya tidak memiliki pengetahuan agama yang dalam, secara tidak langsung dikhuatiri boleh memecahbelahkan umat Islam hari ini. Seharusnya percanggahan yang berlaku antara kaum muda dan kaum tua perlu dibincangkan di atas satu meja bulat supaya sesuatu perkara itu dapat dibincangkan dengan saksama tanpa ada rasa emosional agar hukuman itu terletak pada tempat yang sebenarnya, semestinya berlandaskan dalil-dalil Al-Quran dan hadis-hadis nabi Muhammad saw, dan bukannya memutuskan hukum sesuatu perkara itu dengan kebijaksaan akal semata-semata. Dengan mengeluarkan dalil-dalil Al-Quran dan hadis-hadis semata, belum mencukupi untuk mengemukakan hukum yang baru menggantikan hukum lama dan menuduh pengamal-pengamal amalan terdahulu salah. Ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak adil kerana ibarat menjatuhkan hukuman di mahkamah tanpa mendengar penjelasan sebelah pihak yang satu lagi.
Sebagai satu contoh adalah pertuduhan kenduri tahlil yang diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini adalah bidaah kerana baginda nabi Muhammad saw tidak melakukan ini semasa riwayat beliau. Dan ini adalah jawapan oleh Dato' Mufti Negeri Sembilan, Dato' Hj Mohd Murtadza Hj Ahmad dipetik dari majalah MILENIA MUSLIM edisi Februari 2009. Begini kata beliau;
Saya punya pandangan macam ini saja. Kalau kita kata tahlil adalah bidaah, itu bidaah, ini pun bidaah. Orang Islam kini berhadapan dengan isu kemusnahan takwa. Saya malas nak komen mengenai ulama baru kerana terlalu ramai di antara mereka yang menolak ulama lama yang banyak mentarbiahkan dalam masyarakat. Adalah amat zalim sebagai generasi ulama muda mengatakan ulama dulu dungu. Itu adalah satu contoh kebiadaban. Sebagai contoh, majlis tahlil bila ada kematian. Saya melihat ulama dulu bila mereka melihat kematian, satu perasaan sedih menyelubungi waris dan kadang-kadang akan timbul perasaan tidak redha pada qadha' Allah swt di kalangan mereka. Bila kita bersedih orang lain semua balik. Bila ulama berkata berkumpul tiga hari, ini adalah satu jangka masa untuk bebaskan perasaan itu. Perasaan tidak redha dengan qadar, tidak redha dengan kematian dan kehilangan orang tersayang. Maka daripada sekadar berkumpul dan berbual kosong, maka ulama pun suruh duduk sambil sebut kalimah La ila ha illallah. Kalau orang kemukan hadis melarang menyebut La ila ha illallah silakan saya nak tengok. Sedangkan apa yang berlaku ialah galakkan menyebut La ila ha illallah.
Apa sebenarnya implikasi tentang perkara ini dari 'sudut kaca mata' masyarakat? Aku memandang begini. Tiada yang lama maka tiadalah yang baru. Mereka ini seharusnya berada dalam satu saf yang sama untuk mengatasi kemaslahatan masyarakat hari ini. Tidak cukup dengan masalah murtad yang semakin meningkat, isu keruntuhan akhlak di kalangan remaja muda, sistem pentadbiran politik yang semakin menghakis budi pekerti budaya orang Melayu dan sistem pendidikan yang tempang 'mengajar' anak-anak, janganlah perteligkahan dalam agama ini menambah teruk barah dalam masyarakat kita hari ini. Ini kerana masalah-masalah di atas hanya dapat diatasi sekiranya semua pihak yang terlibat berbalik ke pangkal agama Islam yang berpaksikan Kitabullah semula sebagai jalan terkahir atau jalan terbaik untuk membaiki keadaan sedia ada. Apa pula kata mereka sekiranya dalam institusi-institusi Islam yang ada juga bercakar ayam tidak sependapat tentang hukum-hukum Allah ini?
Yang ada Al-Quran dan sunnah nabi Muhammad saw.
Yang ada Al-Quran dan sunnah nabi Muhammad saw.
No comments:
Post a Comment